Memaparkan catatan dengan label Hak Pemiutang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hak Pemiutang. Papar semua catatan

05 Disember 2024

BANTAHAN PEMIUTANG TERHADAP PERMOHONAN PELEPASAN BANKRAP

bantahan pelepasan bankrap

Seperti yang kita sedia maklum melalui rencana-rencana sebelum ini, Akta Insolvensi 1967 memberikan peruntukan-peruntukan tertentu bagaimana si bankrap boleh memohon untuk mendapatkan pelepasan iaitu samada melalui pelepasan automatik, melalui sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi atau melalui Perintah Mahkamah. Namun adakah pemiutang boleh membantah permohonan pelepasan ini?

...

1. Dalam situasi di mana seorang individu yang diisytiharkan bankrap ingin dilepaskan melalui sijil pelepasan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI), pemiutang diberikan peluang untuk mengemukakan bantahan mereka. Peruntukan di bawah seksyen 33B Akta Insolvensi 1967 menjelaskan prosedur dan hak pemiutang untuk menyuarakan bantahan terhadap pelepasan tersebut.

...

2. Sebelum sijil pelepasan dikeluarkan, KPI diwajibkan untuk memberikan notis kepada setiap pemiutang yang telah mengemukakan bukti hutang. 

...

3. Notis ini bertujuan memaklumkan niat KPI untuk mengeluarkan sijil pelepasan kebankrapan kepada si Bankrap. 

...

4. Pemiutang yang menerima notis ini dan ingin membantah pelepasan tersebut perlu mengemukakan notis bantahan beserta alasan bantahan mereka kepada KPI dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis itu diterima. Jika pemiutang gagal mengemukakan notis bantahan dalam tempoh yang ditetapkan, mereka dianggap tiada bantahan terhadap pelepasan tersebut.

...

5. Namun, bagi pemiutang yang telah mengemukakan notis bantahan, tetapi bantahan mereka ditolak oleh KPI, mereka masih mempunyai pilihan untuk membawa perkara ini ke mahkamah. 

...

6. Pemiutang boleh membuat permohonan kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari dari tarikh mereka dimaklumkan bahawa bantahan mereka telah ditolak. Permohonan ini adalah untuk mendapatkan perintah mahkamah yang menghalang KPI daripada mengeluarkan sijil pelepasan tersebut.

...

7. Setiap permohonan yang dibawa ke mahkamah perlu disampaikan kepada KPI dan juga individu yang bankrap. Mahkamah akan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan. 

...

8. Mahkamah mempunyai budi bicara sama ada untuk menolak permohonan tersebut atau mengeluarkan perintah yang menghalang KPI daripada mengeluarkan sijil pelepasan untuk tempoh tidak melebihi dua tahun.

...

9. Proses ini memberi perlindungan kepada pemiutang dengan membolehkan mereka menilai sama ada pelepasan bankrap adalah wajar berdasarkan keadaan kewangan bankrap dan hutang yang masih belum dijelaskan. 

...

10. Pada masa yang sama, ia memastikan prosedur pelepasan dijalankan dengan telus dan adil bagi kedua-dua pihak, iaitu pemiutang dan individu yang bankrap. Dengan adanya peruntukan seperti ini, keseimbangan antara hak pemiutang dan hak individu yang bankrap dapat dicapai, selaras dengan matlamat undang-undang insolvensi.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

05 Mei 2024

SYARAT-SYARAT SEBELUM MEMFAILKAN KEBANKRAPAN

syarat bankrap
AKTA INSOLVENSI TELAH MENGGARISKAN BEBERAPA SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM SEORANG PEMIUTANG DIBOLEHKAN UNTUK MEMFAIL SESUATU PETISYEN KEBANKRAPAN. APAKAH SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM PEMIUTANG DIBENARKAN MEMFAILKAN TINDAKAN KEBANKRAPAN TERSEBUT?

...

1. Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan beberapa syarat penting yang perlu dipenuhi oleh seseorang pemiutang sebelum beliau dibenarkan untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Si Penghutang. 

...

2. Syarat-syarat ini penting kerana seseorang Penghutang itu tidak boleh sama sekali dikenakan tindakan kebankrapan melainkan syarat-syarat ini dipenuhi terlebih dahulu. Kegagalan untuk memenuhinya boleh menyebabkan tindakan kebankrapan yang telah difailkan di Mahkamah akan ditolak.

...

3. Syarat yang pertama adalah seseorang pemiutang itu tidak boleh dibankrapkan melainkan jumlah keberhutangan yang masih terhutang (debt owing) itu adalah tidak kurang daripada RM100,000.00. Maksudnya, sekiranya amaun keberhutangan itu kurang daripada RM100,000.00 maka si Penghutang itu tidak boleh di bankrapkan.

...

4. Syarat yang kedua adalah amaun keberhutangan yang masih terhutang itu adalah dalam bentuk telah diputuskan dan muktamad (liquidated sum). Maksudnya, ada satu jumlah keberhutangan yang telah ditetapkan dengan tepat dan disahkan, lazimnya oleh Mahkamah melalui satu penghakiman.

...

5. Syarat yang ketiga adalah sesuatu petisyen kebankrapan itu hendaklah diifailkan di dalam tempoh masa enam (6) bulan daripada tarikh perbuatan kebankrapan selaras dengan Seksyen 3 Akta Insolvensi. Petisyen tidak boleh difailkan selepas daripada tempoh yang tersebut.

...

6. Syarat yang keempat adalah pengnhutang yang hendak dibankrapkan hendaklah bermastautin atau mempunyai tempat tinggal atau premis perniagaan atau menjalankan perniagaan di Malaysia sekurang-kurangnya setahun sebelum pemiutang boleh memfailkan petisyen kebankrapan. 

...

7. Sekiranya pemiutang berhasrat untuk memfailkan tindakan kebankrapan ke atas penjamin, maka syarat seterusnya yang perlu dijadikan panduan adalah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil ke atas penjamin sosial / social guarantor (penjamin pinjaman berasaskan pendidikan, sewa beli kenderaan atau kemudahan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian). 

...

8. Tindakan kebankrapan ke atas penjamin selain daripada penjamin sosial (non social guarantor) pula hanya boleh dimulakan sekiranya pemiutang mendapat kebenaran daripada Mahkamah selepas syarat-syarat tertentu untuk mendapatkan kebenaran tersebut dipenuhi.

...

9. Syarat-syarat ini hendaklah dipenuhi dengan sempurna dan pemakaiannya adalah sangat ketat. Ini adalah kerana Seksyen 5 (7) Akta Insolvensi 1967 telah menetapkan bahawa sekiranya syarat-syarat ini gagal dipenuhi, Mahkamah akan menolak petisyen kebankrapan yang difailkan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


20 Mac 2024

MEMBANKRAPKAN ORANG YANG BERHUTANG

membankrapkan orang berhutang

ADAKAH SESEORANG ITU BOLEH DIBANKRAPKAN OLEH KERANA KEGAGALAN BELIAU MEMBAYAR HUTANG? BAGAIMANA CARA UNTUK MEMBANKRAPKAN SESEORANG KERANA KEBERHUTANGANNYA DAN APAKAH SYARAT-SYARAT YANG PERLU DIPENUHI? 

---

1. Keengganan seorang penghutang (Peminjam wang) untuk membayar hutang adalah sesuatu yang kerap kali dan biasa berlaku. Baik untuk jumlah yang kecil mahupun jumlah yang besar.

---

2. Adakah seseorang itu boleh dikenakan tindakan kebankrapan kerana kegagalannya membayar hutang? Jawapannya boleh.

---

3. Pertama sekali, hutang yang gagal dibayar itu hendaklah berjumlah tidak kurang daripada RM100,000.00. Pemiutang (Pemberi Pinjam) tidak dibenarkan memfailkan prosiding keberhutangan untuk hutang yang kurang daripada amaun RM100,000.00.

---

3. Kedua, kaedah lazim yang di lakukan adalah Pemiutang akan terlebih dahulu memfailkan Writ Saman di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi (jika amaun hutang melebihi RM1,000,000.00) terhadap Penghutang. Tindakan Saman ini adalah bertujuan untuk mendapatkan Penghakiman.

---

4. Fungsi Penghakiman ini diantara lainnya adalah sebagai dokumen pengesahan daripada  Mahkamah berkenaan dengan keberhutangan dan jumlah baki keberhutangan yang dituntut terhadap Penghutang. 

---

5. Melainkan Penghakiman tersebut di batalkan, tidak ada siapa-siapa lagi yang boleh menyangkal keberhutangan dan jumlah hutang yang perlu dibayar oleh Penghutang.

---

6. Selepas mendapat Penghakiman di Mahkamah, Pemiutang akan menyerahkan sesalinan Penghakiman tersebut dan seterusnya akan menuntut agar pembayaran penuh dibuat di dalam tempoh masa yang tertentu.

---

7. Akhir sekali apabila Penghutang enggan atau gagal membuat pembayaran, maka peguam yang dilantik oleh Pemiutang akan memfailkan Notis Kebankrapan diikuti dengan proses pendengaran Petisyen yang berkenaan di Mahkamah mengikut ketetapan, syarat-syarat dan jangka masa yang telah ditetapkan oleh Akta Insolvensi 1967.

---

8. Sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa semua dokumen-dokumen adalah teratur dan syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu diisytiharkan bank telah dipenuhi, maka Mahkamah yang merekodkan Perintah Kebankrapan keatas Penghutang tersebut.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.