Memaparkan catatan dengan label Maklumat Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Maklumat Umum. Papar semua catatan

30 November 2024

KESAN PERINTAH KEBANKRAPAN

kesan perintah kebankrapan

Apakah kesan atau impak terhadap sesuatu perintah kebankrapan? Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang telah diserahkan dengan sesalinan perintah kebankrapan?

...

1. Perintah kebankrapan (bankruptcy order) membawa kesan besar bukan sahaja terhadap individu yang diisytiharkan bankrap malah kepada pihak-pihak yang terlibat seperti pemiutang-pemiutang yang lain.

... 

2. Apabila perintah kebankrapan dibuat terhadap seseorang itu, undang-undang telah menetapkan bahawa mana-mana pemiutang lain tidak lagi dibenarkan untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap individu yang bankrap berkaitan hutang yang boleh dibuktikan dalam kebankrapan. Ini bermaksud, si bankrap tidak lagi boleh di saman untuk hutang-hutang yang lain. 

...

3. Sebarang tindakan atau tuntutan yang ingin diteruskan memerlukan kebenaran daripada mahkamah, dan ini hanya akan diberikan dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh mahkamah. Langkah ini bertujuan memastikan proses kebankrapan berjalan dengan teratur dan melindungi semua pihak daripada tindakan yang bertindih atau tidak wajar.

...

4. Harta individu yang bankrap juga akan beralih kawalan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah Insolvensi. Ketua Pengarah Insolvensi akan bertindak sebagai penerima, pengurus, pentadbir, dan pemegang amanah terhadap semua harta bankrap tersebut. Harta-harta ini kemudiannya akan diagihkan secara saksama kepada para pemiutang berdasarkan jumlah hutang masing-masing. 

...

5. Bagi pemiutang yang memegang jaminan atau cagaran ke atas hutang, undang-undang menetapkan bahawa faedah ke atas hutang tersebut tidak boleh terus dituntut selepas tempoh 12 bulan dari tarikh perintah kebankrapan, melainkan mereka merealisasikan cagaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

...

6. Individu yang diisytiharkan bankrap juga diwajibkan oleh undang-undang untuk mengemukakan penyata kewangan dalam tempoh 24 jam selepas menerima perintah kebankrapan. 

...

7. Penyata ini mesti mengandungi maklumat lengkap dan tepat mengenai rakan kongsi perniagaan, jika ada, serta senarai aset utama dan liabiliti mereka. Penyataan ini menjadi sebahagian daripada dokumen yang akan digunakan dalam proses insolvensi untuk menentukan keadaan kewangan sebenar individu tersebut.

...

8. Ketua Pengarah Insolvensi juga diberi kuasa untuk mengambil alih dokumen-dokumen penting yang berkaitan dengan harta dan urusan individu bankrap. 

...

9. Ini termasuk buku akaun, surat ikatan, dan sebarang dokumen lain yang relevan. Tindakan ini bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi atau penyembunyian harta yang boleh menghalang proses pengagihan kepada pemiutang.

...

10. Secara keseluruhannya, perintah kebankrapan bukan sahaja memberi kesan langsung kepada individu yang diisytiharkan bankrap tetapi juga memastikan pemiutang diberikan peluang yang adil untuk mendapatkan semula hutang mereka. Dalam konteks ini, undang-undang memainkan peranan penting untuk mengimbangi kepentingan semua pihak dan menguruskan proses kebankrapan dengan cara yang telus dan berkesan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

16 November 2024

PERBUATAN-PERBUATAN KEBANKRAPAN


acts of bankruptcy

Apakah perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan kebankrapan di bawah Akta Insolvensi 1967. Seperti yang kita sedia maklum, kebankrapan merupakan satu situasi di mana seseorang individu secara sah diisytiharkan melalui satu Perintah Kebankrapan sebagai tidak mampu untuk membayar hutangnya. 

...

1. Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan perbuatan - perbuatan yang dianggap sebagai perbuatan kebankrapan. Perbuatan - perbuatan ini, sekiranya dilakukan, pada lazimnya boleh menjadi asas kepada tindakan undang-undang untuk mengisytiharkan seseorang individu sebagai muflis. Berikut adalah penerangan ringkas tentang perbuatan-perbuatan kebankrapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Insolvensi 1967.

...

2. Seseorang dianggap melakukan perbuatan kebankrapan jika dia membuat penyerahan harta kepada pemegang amanah untuk faedah pemiutang secara keseluruhan. Penyerahan ini biasanya bertujuan untuk menyelesaikan hutang, tetapi dalam konteks undang-undang, ia menunjukkan ketidakmampuan individu tersebut untuk mengurus kewangannya. 

...

3. Selain itu, tindakan seperti pemindahan harta yang dilakukan secara penipuan, hadiah, atau penghantaran harta yang bermaksud untuk mengelak daripada membayar hutang juga termasuk dalam kategori ini.

...

4. Seseorang juga boleh dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan sekiranya dia membuat pemindahan harta atau mewujudkan cagaran ke atas harta yang bertujuan memberikan keutamaan kepada pemiutang tertentu secara tidak sah. Ini biasanya dilakukan untuk melindungi aset daripada tindakan undang-undang atau untuk mengelakkan pemiutang lain mendapatkan bahagian mereka.

...

5. Niat untuk melambatkan atau mengelakkan pemiutang juga dikira sebagai perbuatan kebankrapan. Ini termasuk tindakan seperti meninggalkan Malaysia, tidak pulang ke Malaysia setelah berada di luar negara, menghilangkan diri dari kediaman atau tempat perniagaan, atau dengan sengaja tidak muncul di mahkamah untuk mengelakkan pembayaran hutang.

...

6. Selain itu, jika hartanya disita melalui perintah mahkamah kerana gagal membayar hutang melebihi RM1,000.00, individu tersebut dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan. 

...

7. Tindakan memfailkan pengisytiharan ketidakmampuan untuk membayar hutang atau menghantar notis kepada pemiutang bahawa dia telah menghentikan atau akan menghentikan pembayaran hutang juga termasuk dalam perbuatan kebankrapan.

...

8. Satu lagi situasi adalah apabila pemiutang yang telah memperoleh penghakiman terhadap individu tersebut menyerahkan Notis Kebankrapan yang tidak dipatuhi dalam tempoh tujuh hari. Kegagalan mematuhi notis ini, sama ada dengan membayar jumlah hutang atau memberikan bukti kepada mahkamah bahawa terdapat tuntutan balas yang sah, adalah bukti jelas kebankrapan. Ini adalah situasi yang paling banyak yang menyebabkan seseorang itu muflis.

...

9. Akhir sekali, jika pegawai pelaksana perintah mahkamah melaporkan bahawa individu tersebut tidak mempunyai harta yang boleh disita untuk melaksanakan perintah mahkamah, individu itu juga dianggap telah melakukan perbuatan kebankrapan.

...

10. Setiap perbuatan kebankrapan ini, sekiranya dilakukan, boleh dan akan menjadi asas untuk memulakan tindakan kebankrapan terhadap seseorang. Dalam situasi seperti ini, individu yang terlibat perlu segera mendapatkan nasihat undang-undang bagi melindungi hak mereka dan mencari penyelesaian yang terbaik.

...


kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.





29 April 2024

KEBANKRAPAN TERHADAP PENJAMIN

kebankrapan penjamin
APA ITU PENJAMIN DAN ADAKAH SEORANG PENJAMIN YANG MENJAMIN SESUATU KEMUDAHAN PINJAMAN BOLEH DI BANKRAPKAN? SEKIRANYA BOLEH, ADAKAH TERDAPAT SYARAT-SYARAT YANG PERLU DIPENUHI SEBELUM SESEORANG PENJAMIN ITU BOLEH DIBANKRAPKAN?

...

1. Siapakah penjamin? Penjamin adalah individu yang memberikan jaminan terhadap pinjaman yang diterima oleh seseorang pemiutang, lazimnya terdiri daripada individu yang mengenali pemiutang tersebut. 

...

2. Sekiranya seorang penghutang itu gagal membuat bayaran balik hutang atau pinjaman yang diterimanya, maka penjamin yang memberikan jaminan tadi akan turut bertanggungjawab untuk melangsaikan hutang dan pinjamannya.

...

3. Di dalam sesetengah keadaan, sesuatu pinjaman yang dipohon itu tidak akan diluluskan oleh entiti kewangan seperti bank tanpa sokongan dan jaminan seorang penjamin.

...

4. Disisi undang-undang, terdapat dua kategori penjamin. Kategori pertama adalah Penjamin sosial (social guarantor) manakala kategori yang kedua adalah penjamin bukan sosial (non-social guarantor).

...

5. Penjamin sosial adalah penjamin yang terdiri daripada individu yang memberi jaminan terhadap hutang atau pinjaman yang tidak bercirikan keuntungan (non-profit). 

...

6. Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan tiga kategori penjamin yang dikenali sebagai penjamin sosial iaitu penjamin bagi satu pinjaman pelajaran, penjamin bagi transaksi sewa beli kenderaan untuk kegunaan persendirian dan penjamin bagi kemudahan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian.

...

7. Penjamin bukan sosial pula adalah penjamin-penjamin lain yang memberikan jaminan kepada pinjaman selain daripada pinjaman pendidikan, sewa-beli kenderaan untuk kegunaan persendirian dan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian.

...

8. Jaminan bukan sosial lazimnya adalah jaminan yang diberikan kepada pinjaman yang berbentuk keuntungan (profit based) contohnya seperti pinjaman persendirian (personal financing/loan) atau pinjaman perniagaan (business financing/loan). 

...

9. Contohnya seperti pengarah-pengarah syarikat yang memberikan jaminan pengarah (directors guarantee) terhadap pinjaman perniagaan yang diterima oleh syarikatnya.

...

10. Adakah seorang penjamin boleh dikenakan tindakan kebankrapan berdasarkan jaminan yang beliau berikan?

...

11. Bagi seorang penjamin sosial, beliau diberikan imuniti mutlak daripada prosiding kebankrapan. ini bermaksud seseorang penjamin sosial tidak boleh dikenakan sebarang tindakan kebankrapan.

...

12. Manakalah bagi seorang penjamin bukan sosial, tindakan kebankrapan hanya boleh diteruskan terhadapnya apabila pemiutang berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan tindakan kebankrapan tersebut.

...

13. Tanpa kebenaran Mahkamah, seorang penjamin bukan sosial tidak boleh dikenakan tindakan kebankrapan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


11 Mac 2024

HUTANG YANG MEMBAWA BANKRAP

 

hutang bankrap

ADAKAH HUTANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ITU BANKRAP? BERAPAKAH AMAUN HUTANG YANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ITU BANKRAP? ADAKAH TERDAPAT JUMLAH HUTANG YANG MINIMA YANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ITU BANKRAP?

---

1. Secara lazimnya, sebab utama kenapa seseorang itu boleh dikenakan perintah kebankrapan adalah apabila beliau gagal untuk melunaskan atau membayar hutang piutangnya.

---

2. Namun ini tidak beerti bahawa semua jumlah keberhutangan boleh menyebabkan seseorang itu dibankrapkan.

---

3. Sebelum ini jumlah keberhutangan yang boleh menyebabkan seseorang itu bankrap adalah RM30,000.00 sebelumnya dinaikkan kepada RM50,000.00 disusuli dengan pindaan yang dibuat pada tahun 2020 menjadikan had minima kebankrapan terkini (setakat rencana ini ditulis) adalah RM100,000.00.

---

4. Ini bermaksud seseorang itu boleh dikenakan tindakan kebankrapan sekiranya beliau tidak boleh membayar jumlah hutang yang berjumlah tidak kurang daripada RM100,000.00 dan Pemiutang berjaya mendapatkan satu Penghakiman yang mengesahkan keberhutangan dengan jumlah tersebut.

---

5. Sekiranya keberhutangan dan/atau Penghakiman yang direkodkan di Mahkamah itu tidak melebihi RM100,000.00 maka Penghutang tersebut tidak boleh dikenakan tindakan kebankrapan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukan merupakan laman yang dikendalikan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

05 Mac 2024

APA ITU BANKRAP ATAU MUFLIS?

 

apa itu bankrap atau muflis

APAKAH ITU BANKRAP ATAU MUFLIS? BAGAIMANA KEGAGALAN MEMBAYAR HUTANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ITU DIISYTIHARKAN BANKRAP ATAU MUFLIS?

---

1. Diisytiharkan bankrap atau muflis bukanlah sesuatu yang diingini oleh sesiapa pun. Ini berikutan kesan dan implikasi yang besar terhadap seseorang itu apabila beliau diisytiiharkan bankrap. Namun apakah yang dimaksudkan dengan kebankrapan atau muflis? Apa itu kebankrapan atau muflis?

---

2. Secara mudahnya, kebankrapan atau muflis adalah satu prosiding yang dimulakan oleh seseorang Pemiutang di Mahkamah terhadap seseorang penghutang yang gagal membayar hutang-hutangnya kepada pihak Pemiutang dalam jumlah yang tertentu.

--- 

3. Lazimnya sesuatu prosiding kebankrapan ini akan dilaksanakan terhadap pihak Penghutang selepas daripada pihak Pemiutang memfailkan Writ Saman di Mahkamah dan telah mendapatkan suatu Penghakiman dari Mahkamah yang mengesahkan keberhutangan dan jumlah keberhutangan seseorang penghutang itu kepadanya.

---

4. Terdapat pelbagai kesan dan implikasi terhadap seseorang yang telah diisytiiharkan bankrap atau muflis. Ini termasuklah penutupan akaun-akaun bank, kesukaran untuk membuka semula akaun bank atau mendapatkan kemudahan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan tempatan, disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen dan pelbagai lagi.

---

5. Implikasi yang paling besar adalah seseorang yang telah diisytiharkan bankrap atau muflis tidak lagi bebas untuk mentadbir harta-harta dan aset-aset peribadi miliknya. Ini adalah kerana setiap harta-hart dan aset-aset yang di miliki oleh si bankrap akan ditadbir sepenuhnya oleh Ketua Pengarah Insolvensi melalui Jabatan Insolvensi Malaysia.

---

6. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita mendapatkan maklumat secukupnya berkenaan dengan kebankrapan atau muflis dan mendapatkan khidmat nasihat konsultan atau peguam-peguam pilihan, lebih-lebih lagi sekiranya kita sedang berhadapan dengan tindakan kebankrapan.

---

kebankrapan


____________________________



Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman. Klik imej di atas untuk mengatur temujanji dengan pihak kami.

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.