Memaparkan catatan dengan label Prosiding Kebankrapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Prosiding Kebankrapan. Papar semua catatan

03 Februari 2025

NILAI KEBERHUTANGAN MINIMUM UNTUK MUFLIS

berapa jumlah hutang untuk muflis bankrap

NILAI KEBERHUTANGAN MINIMUM YANG BOLEH MENYEBABKAN MUFLIS ATAU BANKRAP.

Adakah Anda Tahu Berapa Jumlah Hutang yang Boleh Menyebabkan Anda Diisytiharkan Bankrap atau Muflis? Kebankrapan BOLEH berlaku apabila seseorang penghutang gagal membayar hutangnya yang mencapai satu jumlah tertentu dan pemiutang memulakan tindakan saman dan seterusnya prosiding untuk mengisytiharkan penghutang tersebut sebagai bankrap. Tetapi, adakah anda tahu bahawa tidak semua hutang layak untuk tindakan kebankrapan?

---

1. Apa maksud keberhutangan yang boleh menyebabkan kebankrapan atau muflis? Dalam bahasa mudah, keberhutangan yang boleh membawa kepada kebankrapan ialah jumlah hutang yang diiktiraf oleh undang-undang sebagai mencukupi untuk tindakan prosiding kebankrapan. 

---

2. Akta Kebankrapan 1967 (kini dikenali sebagai Akta Insolvensi 1967) (Akta 360), menetapkan bahawa seseorang individu boleh dikenakan tindakan kebankrapan jika mereka gagal membayar jumlah penghakiman bagi sesuatu hutang, dan jumlah hutang tersebut melebihi nilai ambang yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

---

3. Salah satu aspek penting dalam isu kebankrapan ialah nilai ambang keberhutangan. Nilai ambang ini merujuk kepada jumlah minimum hutang yang perlu dicapai sebelum seseorang boleh dikenakan tindakan kebankrapan oleh pemiutang. 

---

4. Pada tahun 2017, nilai ambang minimum kebankrapan telah dinaikkan daripada RM30,000.00 kepada RM50,000.00. Namun, pada tahun 2020, nilai ambang ini sekali lagi dinaikkan kepada RM100,000.00. Dengan perubahan ini, pemiutang kini hanya boleh memfailkan petisyen kebankrapan jika hutang tertunggak seseorang individu berjumlah sekurang-kurangnya RM100,000.00.

---

5. Sebagai contoh, jika seseorang individu mempunyai hutang keseluruhan (termasuk faedah) sebanyak RM80,000.00, mereka tidak lagi boleh dikenakan tindakan kebankrapan selepas perubahan nilai ambang kepada RM100,000.00.

---

6. Bayangkan Ali berhutang dengan sebuah institusi kewangan sebanyak RM120,000. Selepas gagal membayar ansuran bulanannya, institusi tersebut menghantar notis tuntutan kepada Ali. Sekiranya Ali gagal membuat pembayaran walaupun selepas notis diberikan, institusi kewangan itu boleh memfailkan saman dan selepas daripada itu memfailkan prosiding kebankrapan terhadap Ali kerana jumlah hutangnya melebihi nilai ambang RM100,000.00. 

---

7. Sebaliknya, jika jumlah hutang keselurhan Ali hanya RM90,000.00 (termasuk faedah), institusi tersebut tidak boleh memulakan tindakan kebankrapan sehingga jumlah hutang tersebut mencapai nilai ambang.

---

8. Mengetahui dan memahami nilai ambang minimum kebankrapan adalah penting bagi setiap individu, terutama mereka yang berhadapan dengan cabaran kewangan. Dengan memahami perubahan undang-undang ini, anda bukan sahaja dapat melindungi diri daripada risiko kebankrapan, tetapi juga boleh mengambil langkah awal untuk menyelesaikan hutang sebelum ia menjadi beban yang lebih berat. 

---

9. Jika anda menghadapi situasi keberhutangan yang kompleks, mendapatkan nasihat daripada seorang peguam yang berpengalaman dalam undang-undang kebankrapan adalah langkah terbaik untuk melindungi hak dan kepentingan anda.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

10 Disember 2024

HUTANG PEMIUTANG LAIN SELEPAS PERINTAH KEBANKRAPAN

bukti keberhutangan pemiutang

Apa yang berlaku terhadap hutang piutang lain daripada pemiutang-pemiutang yang masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh individu yang baru sahaja dikenakan perintah kebankrapan? Apa yang akan berlaku kepada pinjaman-pinjaman seperti pinjaman sewa beli kenderaan ataupun hartanah?

...

1. Apabila seseorang individu dikenakan perintah kebankrapan, semua pemiutang yang ingin menuntut bahagian daripada aset yang diuruskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) perlu mengemukakan satu dokumen yang dinamakan bukti keberhutangan (proof of debt) diiringi beberapa dokumen-dokumen yang tertentu. 

...

2. Tindakan ini bukan sahaja memastikan tuntutan mereka diiktiraf tetapi juga membantu dalam pembahagian aset secara adil kepada semua pemiutang berdasarkan keutamaan yang telah diselaraskan oleh undang-undang. 

...

3. Proses bukti keberhutangan ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 42 Akta Insolvensi 1967 dan Jadual C Akta Insolvensi 1967, yang menggariskan langkah-langkah utama yang perlu diambil oleh pemiutang-pemiutang lain yang ingin membuat tuntutan.

...

4. Pemfailan bukti keberhutangan ini adalah perlu dan sangat penting untuk mendapatkan pengiktirafan hutang. Ini adalah kerana pemiutang-pemiutang sudah tidak lagi boleh memfailkan saman terhadap individu selepas individu tersebut dikenakan perintah kebankrapan.

...

5. Oleh itu, setiap pemiutang dikehendaki membuktikan hutang mereka secepat mungkin selepas perintah kebankrapan dibuat. Ini dilakukan melalui penyerahan dokumen-dokume tertentu yang mengesahkan jumlah hutang kepada KPI. 

...

6. Bagi pemiutang bercagar, mereka mempunyai dua pilihan: sama ada merealisasikan cagaran mereka dan hanya membuktikan baki hutang selepas ditolak nilai cagaran yang direalisasikan, atau menyerahkan cagaran mereka kepada KPI untuk manfaat umum semua pemiutang dan membuktikan jumlah hutang keseluruhan.

...

7. Ini membawa kepada persoalan  sekiranya individu yang baru diisytihar bankrap, apa yang akan berlaku kepada kenderaan atau rumah yang masih mempunyai hutang yang belum dijelaskan sepenuhnya. 

...

8. Apabila seseorang individu diisytiharkan bankrap dan memiliki hartanah yang masih bercagar kepada bank, sebagai contoh, hak milik hartanah tersebut secara automatik akan terletak di bawah pengurusan KPI. 

...

9. Namun, pinjaman perumahan yang belum selesai masih perlu dijelaskan kerana bank sebagai pemiutang bercagar mempunyai keutamaan untuk merealisasikan cagaran mereka. 

...

10. Dalam kebanyakan kes, bank akan melelong hartanah tersebut untuk mendapatkan semula baki hutang. Jika hasil lelongan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pinjaman, baki hutang tersebut akan disenaraikan sebagai hutang tidak bercagar dan dikendalikan oleh DGI bersama tuntutan pemiutang lain.

...

11. Bagi si bankrap, kehilangan hartanah ini adalah satu kebarangkalian besar sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan. Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang menghadapi risiko kebankrapan untuk memahami implikasi ini. 

...

12. Berbalik kepada isu bukti keberhutangan, selepas sahaja dokumen bukti keberhutangan diserahkan, KPI akan memeriksa kesahihan tuntutan tersebut. Jika terdapat kekurangan bukti atau alasan untuk menolak tuntutan, KPI akan memberitahu pemiutang secara bertulis dan menyatakan sebab-sebab penolakan. Dalam keadaan di mana tuntutan diterima, jumlah hutang akan diambil kira untuk pembahagian aset.

...

13. Proses membuktikan keberhutangan ini penting bagi memastikan keadilan dalam pengagihan aset kepada semua pemiutang. Bagi pemiutang, adalah penting untuk bertindak segera dengan menyediakan dokumen yang lengkap dan tepat bagi mengelakkan kelewatan atau penolakan tuntutan mereka.  

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

05 Disember 2024

BANTAHAN PEMIUTANG TERHADAP PERMOHONAN PELEPASAN BANKRAP

bantahan pelepasan bankrap

Seperti yang kita sedia maklum melalui rencana-rencana sebelum ini, Akta Insolvensi 1967 memberikan peruntukan-peruntukan tertentu bagaimana si bankrap boleh memohon untuk mendapatkan pelepasan iaitu samada melalui pelepasan automatik, melalui sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi atau melalui Perintah Mahkamah. Namun adakah pemiutang boleh membantah permohonan pelepasan ini?

...

1. Dalam situasi di mana seorang individu yang diisytiharkan bankrap ingin dilepaskan melalui sijil pelepasan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI), pemiutang diberikan peluang untuk mengemukakan bantahan mereka. Peruntukan di bawah seksyen 33B Akta Insolvensi 1967 menjelaskan prosedur dan hak pemiutang untuk menyuarakan bantahan terhadap pelepasan tersebut.

...

2. Sebelum sijil pelepasan dikeluarkan, KPI diwajibkan untuk memberikan notis kepada setiap pemiutang yang telah mengemukakan bukti hutang. 

...

3. Notis ini bertujuan memaklumkan niat KPI untuk mengeluarkan sijil pelepasan kebankrapan kepada si Bankrap. 

...

4. Pemiutang yang menerima notis ini dan ingin membantah pelepasan tersebut perlu mengemukakan notis bantahan beserta alasan bantahan mereka kepada KPI dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis itu diterima. Jika pemiutang gagal mengemukakan notis bantahan dalam tempoh yang ditetapkan, mereka dianggap tiada bantahan terhadap pelepasan tersebut.

...

5. Namun, bagi pemiutang yang telah mengemukakan notis bantahan, tetapi bantahan mereka ditolak oleh KPI, mereka masih mempunyai pilihan untuk membawa perkara ini ke mahkamah. 

...

6. Pemiutang boleh membuat permohonan kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari dari tarikh mereka dimaklumkan bahawa bantahan mereka telah ditolak. Permohonan ini adalah untuk mendapatkan perintah mahkamah yang menghalang KPI daripada mengeluarkan sijil pelepasan tersebut.

...

7. Setiap permohonan yang dibawa ke mahkamah perlu disampaikan kepada KPI dan juga individu yang bankrap. Mahkamah akan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan. 

...

8. Mahkamah mempunyai budi bicara sama ada untuk menolak permohonan tersebut atau mengeluarkan perintah yang menghalang KPI daripada mengeluarkan sijil pelepasan untuk tempoh tidak melebihi dua tahun.

...

9. Proses ini memberi perlindungan kepada pemiutang dengan membolehkan mereka menilai sama ada pelepasan bankrap adalah wajar berdasarkan keadaan kewangan bankrap dan hutang yang masih belum dijelaskan. 

...

10. Pada masa yang sama, ia memastikan prosedur pelepasan dijalankan dengan telus dan adil bagi kedua-dua pihak, iaitu pemiutang dan individu yang bankrap. Dengan adanya peruntukan seperti ini, keseimbangan antara hak pemiutang dan hak individu yang bankrap dapat dicapai, selaras dengan matlamat undang-undang insolvensi.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

25 November 2024

PETISYEN KEBANKRAPAN TERHADAP PENJAMIN BUKAN SOSIAL

penjamin perniagaan

Petisyen kebankrapan terhadap penjamin bukan sosial adalah tindakan yang hanya boleh difailkan selepas melalui prosedur yang ketat sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 5(4) Akta Insolvensi 1967. Penjamin bukan sosial merujuk kepada individu yang memberikan jaminan bagi pinjaman selain daripada kategori penjamin sosial. 

...

1. Seperti yang kita sedia maklum, kategori penjamin sosial (social guarantor) adalah individu-individu yang memberikan jaminan terhadap pinjaman pendidikan, biasiswa atau geran penyelidikan atau pinjaman sewa beli kenderaan untuk kegunaan peribadi, atau pinjaman perumahan untuk kediaman sendiri. Sebaliknya, penjamin bukan sosial biasanya melibatkan pinjaman untuk tujuan perniagaan atau syarikat.

...

2. Sebelum tindakan kebankrapan boleh dimulakan terhadap penjamin bukan sosial, mahkamah memerlukan bukti bahawa pemiutang telah mengambil semua langkah yang munasabah untuk mendapatkan kembali hutang daripada peminjam asal. 

...

3. Langkah-langkah ini termasuk merampas dan melelong aset milik peminjam melalui proses sita dan jual atau mengeluarkan saman penghutang penghakiman untuk menilai kemampuan kewangan peminjam atau memohon perintah garnishment bagi mengarahkan pembayaran hutang melalui pihak ketiga seperti bank atau mengambil tindakan kebankrapan (bagi individu) atau penggulungan (bagi syarikat) terhadap peminjam asal. 

...

4. Hanya setelah semua usaha ini dilakukan dan terbukti tidak berjaya untuk memenuhi hutang penghakiman, barulah pemiutang boleh memohon kebenaran mahkamah untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap penjamin bukan sosial.

...

5. Selain itu, pemiutang juga diwajibkan untuk menyertakan butiran lengkap mengenai peminjam asal dalam petisyen yang difailkan. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa tindakan kebankrapan terhadap penjamin adalah wajar dan berdasarkan fakta yang jelas. 

...

6. Sekiranya terdapat kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mahkamah berhak untuk menolak petisyen tersebut. Prosedur ini penting bagi melindungi penjamin daripada menjadi mangsa tindakan kebankrapan yang tidak adil, terutamanya apabila mereka hanya bertindak sebagai penyokong kepada peminjam dan bukan pihak utama yang bertanggungjawab terhadap hutang tersebut.

...

7. Proses ini mencerminkan kepentingan prinsip keadilan dan perlindungan terhadap penjamin. Dengan memastikan semua langkah yang perlu telah diambil terhadap peminjam asal, undang-undang memberikan ruang kepada penjamin untuk mempertahankan hak mereka daripada sebarang tindakan yang tidak berasas. 

...

8. Dalam setiap kes, adalah penting bagi semua pihak untuk mematuhi prosedur ini demi memastikan tindakan kebankrapan dijalankan dengan adil dan berdasarkan kewajaran. Penjamin bukan sosial, khususnya, harus memahami hak mereka di bawah undang-undang untuk melindungi diri daripada risiko kewangan yang boleh membawa akibat yang serius.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

20 November 2024

SYARAT-SYARAT SEBELUM PEMIUTANG BOLEH MEMFAILKAN PETISYEN KEBANKRAPAN

akta insolvensi 1967

Sebelum mana-mana pemiutang boleh memfailkan Petisyen Kebankrapan, terdapat syarat-syarat yang penting yang perlu dipenuhi oleh pemiutang tersebut. Rencana ini akan mengupas secara ringkas berkenaan dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi dan dipatuhi oleh permiutang sebelum boleh meneruskan tindakan.

...

1. Di bawah Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967, pemiutang yang ingin memfailkan petisyen kebankrapan terhadap penghutang perlu memenuhi beberapa syarat. Syarat-syarat ini bertujuan memastikan hanya kes kebankrapan yang sah dan berasas dibawa ke mahkamah.

... 

2. Pertama, jumlah hutang yang terhutang oleh penghutang kepada pemiutang yang memfailkan petisyen mestilah sekurang-kurangnya RM100,000.00. Jika terdapat lebih daripada satu pemiutang yang bergabung untuk memfailkan petisyen, jumlah hutang keseluruhan kepada pemiutang-pemiutang tersebut juga mestilah tidak kurang daripada RM100,000. Hutang tersebut mestilah berbentuk jumlah yang tetap dan jelas (liquidated sum) dan sama ada perlu dibayar serta-merta atau pada masa tertentu yang telah ditetapkan.

...

3. Kedua, perbuatan kebankrapan yang menjadi asas kepada petisyen mesti berlaku dalam tempoh enam bulan sebelum petisyen difailkan. Ini memastikan bahawa tindakan kebankrapan yang dikemukakan adalah terkini dan masih relevan.

...

4. Ketiga, penghutang tersebut mestilah menetap di Malaysia, mempunyai rumah, perniagaan, atau telah menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan. Ini adalah untuk memastikan bahawa mahkamah insolvensi mempunyai bidang kuasa sepenuhnya ke atas kes tersebut.

...

5. Bagi pemiutang yang mempunyai jaminan atau cagaran (secured creditor), mereka perlu menyatakan sama ada mereka sanggup melepaskan jaminan atau cagaran tersebut untuk faedah semua pemiutang lain sekiranya penghutang diisytiharkan muflis. Alternatifnya, mereka boleh memberikan anggaran nilai jaminan tersebut. Dalam kes ini, pemiutang hanya boleh menuntut jumlah baki hutang selepas ditolak nilai jaminan sebagai pemiutang tidak bercagar.

...

6. Akhir sekali, undang-undang melindungi golongan penjamin, terutamanya penjamin sosial, daripada tindakan kebankrapan. Pemiutang tidak boleh memfailkan petisyen terhadap penjamin sosial. Bagi penjamin bukan sosial, kebenaran mahkamah diperlukan sebelum petisyen boleh dimulakan. Langkah ini memberikan sedikit perlindungan tambahan kepada penjamin.

...

7. Dengan memenuhi syarat-syarat ini, proses kebankrapan memastikan keadilan untuk semua pihak terlibat, termasuk pemiutang, penghutang, dan pihak ketiga yang mungkin terkesan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

22 April 2024

MEMAHAMI PROSIDING KEBANKRAPAN SECARA RINGKAS

prosiding kebankrapan

PROSIDING KEBANKRAPAN ADALAH PROSES DAN TATACARA BAGI MENDAPATKAN PERINTAH KEBANKRAPAN TERHADAP SESEORANG PENGHUTANG DI MAHKAMAH. NAMUN APA DAN BAGAIMANAKAH PROSES UNTUK MEMBANKRAPKAN SESEORANG ITU? APAKAH YANG AKAN BERLAKU SEBELUM SATU PERINTAH KEBANKRAPAN BOLEH DIREKODKAN KE ATAS SESEORANG ITU?

...

1. Lazimnya apabila seseorang penghutang yang telah memfailkan Writ Saman untuk suatu tuntutan hutang di Mahkamah dan berjaya mendapatkan Penghakiman ke atas orang yang di samannya, penghutang tersebut berhak untuk memulakan satu prosiding kebankrapan ke atas penghutang tersebut.

...

2. Proses dan prosiding kebankrapan ini kebiasaannya dimulakan apabila penghutang penghakiman enggan atau gagal membuat bayaran berdasarkan amaun hutang yang dinyatakan di dalam penghakiman selepas beliau diserahkan dengan sesalinan penghakiman tersebut.

...

3.  Apabila penghutang berdegil dan masih enggan membuat apa-apa pembayaran, pemiutang penghakiman akan memberikan arahan kepada peguam untuk memulakan prosiding kebankrapan di Mahkamah.

...

4. Prosiding seterusnya ini akan dimulakan dan segala dokumen-dokumen berkenaan dengan prosiding ini akan difailkan di Mahkamah Tinggi.

...

5. Peguam yang dilantik akan memfailkan satu dokumen yang di namakan Notis Kebankrapan. Sesalinan Notis ini yang telah diluluskan oleh Mahkamah seterusnya akan dihantar kepada Penghutang.

...

6. Notis Kebankrapan ini berfungsi sebagai tuntutan pembayaran akhir sebelum Pemiutang boleh memfailkan dokumen seterusnya. Tempoh masa untuk mematuhi Notis Kebankrapan ini kebiasaanya adalah tujuh (7) hari. 

...

7. Selepas tamat tempoh yang diberikan, Peguam akan memfailkan satu dokumen yang dikenali sebagai Petisyen Pemiutang. Petisyen ini berfungsi sebagai permohonan pemiutang di Mahkamah agar satu perintah kebankrapan direkodkan ke atas penghutang yang enggal atau gagal membayar amaun penghakiman tadi.

...

8. Setelah Petisyen Pemiutang serta kesemua dokumen-dokumen lain yang berkenaan  telah difailkan dengan sempurna dan semua syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan Mahkamah telah dipatuhi, maka satu Perintah yang dinamakan sebagai Perintah Kebankrapan akan direkodkan ke atas si penghutang tadi di Mahkamah.

...

9. Dengan Perintah kebankrapan tadi maka si Penghutang tersebut akhirnya diisytiharkan sebagai bankrap atau muflis, di mana kesemua aset-aset dan harta-harta beliau akan ditadbir oleh Ketua Pengarah Insolvensi.

...

10. Namun perlu diingatkan bahawa proses dan tatacara yang dijelaskan di dalam rencana ini adalah rumusan ringkas daripada keseluruhan proses kebankrapan di Mahkamah. Ianya sudah pasti tidak semudah sekadar memfailkan satu atau dua dokumen semata-mata. 

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.