05 Mei 2024

SYARAT-SYARAT SEBELUM MEMFAILKAN KEBANKRAPAN

syarat bankrap
AKTA INSOLVENSI TELAH MENGGARISKAN BEBERAPA SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM SEORANG PEMIUTANG DIBOLEHKAN UNTUK MEMFAIL SESUATU PETISYEN KEBANKRAPAN. APAKAH SYARAT-SYARAT UMUM SEBELUM PEMIUTANG DIBENARKAN MEMFAILKAN TINDAKAN KEBANKRAPAN TERSEBUT?

...

1. Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967 telah menggariskan beberapa syarat penting yang perlu dipenuhi oleh seseorang pemiutang sebelum beliau dibenarkan untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Si Penghutang. 

...

2. Syarat-syarat ini penting kerana seseorang Penghutang itu tidak boleh sama sekali dikenakan tindakan kebankrapan melainkan syarat-syarat ini dipenuhi terlebih dahulu. Kegagalan untuk memenuhinya boleh menyebabkan tindakan kebankrapan yang telah difailkan di Mahkamah akan ditolak.

...

3. Syarat yang pertama adalah seseorang pemiutang itu tidak boleh dibankrapkan melainkan jumlah keberhutangan yang masih terhutang (debt owing) itu adalah tidak kurang daripada RM100,000.00. Maksudnya, sekiranya amaun keberhutangan itu kurang daripada RM100,000.00 maka si Penghutang itu tidak boleh di bankrapkan.

...

4. Syarat yang kedua adalah amaun keberhutangan yang masih terhutang itu adalah dalam bentuk telah diputuskan dan muktamad (liquidated sum). Maksudnya, ada satu jumlah keberhutangan yang telah ditetapkan dengan tepat dan disahkan, lazimnya oleh Mahkamah melalui satu penghakiman.

...

5. Syarat yang ketiga adalah sesuatu petisyen kebankrapan itu hendaklah diifailkan di dalam tempoh masa enam (6) bulan daripada tarikh perbuatan kebankrapan selaras dengan Seksyen 3 Akta Insolvensi. Petisyen tidak boleh difailkan selepas daripada tempoh yang tersebut.

...

6. Syarat yang keempat adalah pengnhutang yang hendak dibankrapkan hendaklah bermastautin atau mempunyai tempat tinggal atau premis perniagaan atau menjalankan perniagaan di Malaysia sekurang-kurangnya setahun sebelum pemiutang boleh memfailkan petisyen kebankrapan. 

...

7. Sekiranya pemiutang berhasrat untuk memfailkan tindakan kebankrapan ke atas penjamin, maka syarat seterusnya yang perlu dijadikan panduan adalah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil ke atas penjamin sosial / social guarantor (penjamin pinjaman berasaskan pendidikan, sewa beli kenderaan atau kemudahan pinjaman perumahan untuk kegunaan persendirian). 

...

8. Tindakan kebankrapan ke atas penjamin selain daripada penjamin sosial (non social guarantor) pula hanya boleh dimulakan sekiranya pemiutang mendapat kebenaran daripada Mahkamah selepas syarat-syarat tertentu untuk mendapatkan kebenaran tersebut dipenuhi.

...

9. Syarat-syarat ini hendaklah dipenuhi dengan sempurna dan pemakaiannya adalah sangat ketat. Ini adalah kerana Seksyen 5 (7) Akta Insolvensi 1967 telah menetapkan bahawa sekiranya syarat-syarat ini gagal dipenuhi, Mahkamah akan menolak petisyen kebankrapan yang difailkan.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.