12 Mei 2024

PELEPASAN MELALUI SIJIL KETUA PENGARAH INSOLVENSI

pelepasan kebankrapan melalui sijil ketua pengarah insolvensi

TERDAPAT BEBERAPA KAEDAH UNTUK MENDAPATKAN PELEPASAN DARIPADA KEBANKRAPAN DAN SETIAP KAEDAH-KAEDAH INI MEMPUNYAI SYARAT-SYARAT YANG TERTENTU YANG PERLU DIPATUHI DAN DIPENUHI DENGAN SEMPURNA. SALAH SATU DARIPADANYA ADALAH PERMOHONAN PELEPASAN MELALUI SIJIL KETUA PENGARAH INSOLVENSI.

...

1. Apakah yang diimaksudkan dengan permohonan pelepasan bankrap melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi? Ianya adalah permohonan untuk mendapatkan pelepasan daripada status bankrap di mana Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk memberi pelepasan kepada pemohon-pemohon yang layak dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

...

2. Ini adalah kaedah yang lebih mudah untuk mendapatkan pelepasan berbanding dengan permohonan pelepasan di bawah seksyen 105 Akta Insolvensi 1967 yang memerlukan pemfailan permohonan pelepasan atau pembatalan kebankrapan di Mahkamah.

...

3. Namun hanya kerana anda membuat permohonan, tidak beerti yang anda akan mendapat pelepasan tersebut. Ini kerana kuasa pelepasan pada Ketua Pengarah Insolvensi itu adalah berbentuk budi bicara (discretion). Beliau berhak untuk membenarkan sesuatu permohonan perlepasan itu dan beliau juga berhak untuk menolaknya.

...

4. Selain daripada itu, terdapat syarat-syarat yang perlu dan wajib dipatuhi sebelum si Bankrap itu layak untuk membuat permohonan untuk mendapatkan pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi. Apakah syarat-syarat tersebut?

...

5. Berdasarkan seksyen 33A (2) Akta Insolvensi 1967, Ketua Pengarah Insolvensi tidak akan mengeluarkan sijil pelepasan melainkan tempoh kebankrapan si Bankrap itu telah melebihi lima (5) tahun daripada tarikh beliau di bankrapkan.

...

6. Oleh itu, sebelum memfailkan borang permohonan untuk pelepasan, si Bankrap hendaklah terlebih dahulu memastikan bahawa tempoh kebankrapan beliau telah melebihi lima tahun yang dikira daripada tarikh Perintah Kebankrapan dimasukkan ke atas beliau.

...

7. Sekiranya tempoh lima tahun tersebut masih belum luput, maka permohonan untuk mendapatkan pelepasan yang difailkan oleh si Bankrap, boleh ditolak.

...

8. Sebelum memfailkan Borang Pelepasan, si Bankrap juga perlu hadir ke Jabatan Insolvensi berdekatan untuk melapor diri dan memfailkan Penyata Hal Ehwal (Borang PHE). Persediaan ini menunjukkan bahawa si Bankrap telah memberikan kerja sama yang baik kepada Jabatan Insolvensi berkenaan dengan hal ehwal kebankrapannya.

...

9. Selain itu, si Bankrap juga hendaklah mengisi dan menyerahkan Borang Permohonan Pelepasan Sijil Ketua Pengarah Insolvensi Di Bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 yang boleh didapati samada di cawangan-cawangan Jabatan Insolvensi yang terdekat ataupun dengan cara memuat turun Borang tersebut di laman web Jabatan Insolvensi.

...

10. Akhir sekali, salah satu faktor yang akan turut dipertimbangkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan permohonan pelepasan yang diterima adalah sekiranya ada bantahan-bantahan yang dibuat oleh Pemiutang-Pemiutang yang memfailkan Bukti Keberhutangan yang menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap pelepasan tersebut.

---

kebankrapan

____________________________


Perhatian - Mykebankrapan.com bukanlah merupakan laman yang dikendalikan oleh mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia mahupun mana-mana badan kerajaan. Ianya dikendalikan oleh pihak profesional tempatan yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan yang berkaitan dengan Insolvensi di Malaysia atau mana-mana badan kerajaan atau yang sewaktu dengannya. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam Mykebankrapan.com tidak boleh dijadikan panduan untuk sebarang tindakan secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana konsultan atau peguam yang berpengalaman.


 

2 ulasan:

  1. feel betrayed and victimised. sipiutang tak dapat sesen pun. habis duit berbelas ribu upah lawyer. In d end, Insolvensi kata tak boleh buat apa2 sbb sibankrap tak bekerjasama. Now sibankrap apply pelepasan, and ask me to agree?? nonsense!

    BalasPadam
  2. Sekiranya anda adalah sipiutang, anda boleh mencabar dan tidak bersetuju dengan pelepasan tersebut dengan memfailkan dokumen-dokumen tertentu mengikut Akta Insolvensi. Ianya akan didengarkan di Mahkamah dan Mahkamah akan putuskan samada si bankrap akan diberikan pelepasan atau tidak.

    BalasPadam

Cari Kandungan Laman

mykebankrapan.com © , Hakcipta terpelihara. Laman Guaman
Email Email Kami. WhatsApp Whatsapp kami.